Salam Sejahtera,
Hanya untuk ku tempek sebagai pemangkin buat ku jua untuk pembeli2 rumah di Taman Pinggiran Cyber. Hari nie 13/10/09 jamuan bersama pembeli rumah dah keluar di Berita Utusan Malaysia. Nampak tak.....somi ku kanan sekali tengah dukung Humaira. hehehe Semangat2!!!!
Jamuan raya di tapak projek
Oleh THOMAS CHONG
kota@utusan.com.my

|
| PEMBELI rumah di Taman Pinggiran Cyber meluahkan perasaan mereka pada majlis rumah terbuka yang diadakan di tapak projek itu berikutan kegagalan pemaju menyiapkan rumah mereka mengikut jadual. – utusan/Zaki Amiruddin |
CYBERJAYA 12 Okt. – Berlainan dengan kebanyakan orang, kira-kira 100 pembeli rumah di Taman Pinggiran Cyber di sini memilih untuk mengadakan rumah terbuka di tapak binaan yang panas dan berdebu.
Bukan tidak mahu mengadakannya di kawasan yang selesa tetapi mereka beranggapan itulah kawasan yang paling sesuai untuk mengadakan rumah terbuka sambil menyatakan perasaan hati mereka.
Mereka membuat keputusan untuk mengadakan jamuan raya di tapak binaan Taman Pinggiran Cyber di sini selepas rumah mereka yang sepatutnya siap dibina pada tahun 2005 lalu gagal disiapkan sehingga hari ini.
Menariknya, rumah terbuka yang telah diadakan tiga tahun berturut-turut di tapak binaan itu turut dihadiri kontraktor yang gagal menerima bayaran daripada pemaju perumahan tersebut.
Walaupun rumah terbuka tersebut diadakan dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air, ia tidak menghalang pembeli rumah dari pelbagai kaum untuk beraya dalam suasana yang mesra dan meriah.
Pembeli rumah turut menyediakan pelbagai jenis juadah seperti kek lapis Sarawak, otak-otak Johor, kuih bakar Kemboja, sate dan buah-buahan untuk dinikmati bersama.

|
| PELBAGAI juadah yang ringkas tetapi menyelerakan disediakan oleh pembeli rumah Taman Pinggiran Cyber pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di tapak projek perumahan itu yang terbengkalai sejak 2005. |
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli-pembeli Rumah Taman Pinggiran Cyber, Syed Kamaruddin Syed Samsuddin, 55, berkata, tujuan pembeli mengadakan jamuan raya di tapak binaan adalah untuk memantau kemajuan pembinaan rumah yang gagal disiapkan pemaju.
“Dengan mengadakan rumah terbuka di tapak binaan, pembeli rumah dapat menilai sejauh manakah pemaju memenuhi janji mereka untuk menyiapkan rumah kami secepat mungkin.
“Ini juga merupakan satu peluang untuk pembeli rumah di Taman Pinggiran Cyber berkumpul dan merapatkan hubungan silaturahim dengan bakal-bakal jiran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, pihak pemaju berkali-kali memberi janji akan menyiapkan pembinaan lebih 300 buah rumah di Taman Pinggiran Cyber itu tetapi semua janji itu tidak dapat dikotakan.
“Janji terakhir yang diberikan pemaju ialah rumah kami akan dapat disiapkan pada akhir tahun ini.
“Tetapi saya melihat ia tidak mungkin dapat ditunaikan kerana masih banyak perkara yang belum disiapkan sedangkan tempoh waktunya semakin pendek,” katanya.
Syed Kamaruddin berkata, pihaknya pernah membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri dan wakil rakyat tetapi semuanya tidak menampakkan hasil.
“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini.
“Pembeli sudah tidak sanggup untuk menunggu dan terus menanggung pelbagai masalah terutama bebanan kewangan setiap bulan,” katanya.